Beberapa dekad yang lalu, saya mengikut satu program percutian kerohanian waktu di universiti. Di situ semua orang bercakap tentang ujian personaliti. “Saya seorang ISTJ!” kata salah seorang. “Saya seorang ENFP,” ujar seorang lagi. Saya kebingungan. “Saya seorang ABCXYZ,” saya bergurau.
Sejak itu, saya telah banyak belajar tentang ujian tersebut (Myers-Briggs) dan lain-lain seperti penilaian DiSC. Saya mendapati ujian-ujian personaliti tersebut menarik kerana dapat membantu kita memahami diri kita sendiri dan orang lain dengan cara yang berguna dan ketara, iaitu menjelaskan kesukaan, kekuatan dan kelemahan kita. Selagi kita tidak menggunakannya secara berlebihan, ujian ini dapat menjadi alat berguna yang dipakai Tuhan untuk membantu kita bertumbuh.
Alkitab tidak menawarkan kita ujian personaliti. Akan tetapi, ia menegaskan keunikan setiap orang di mata Tuhan (lihat Mazmur 139:14-16; Yeremia 1:5), dan ia menunjukkan kepada kita bagaimana Tuhan memperlengkap setiap kita dengan personaliti dan kurnia yang unik untuk melayani orang lain dalam kerajaan-Nya. Dalam Roma 12:6, Paulus mula meneliti idea ini apabila dia berkata, “Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita.”
Paulus menjelaskan bahawa kurnia-kurnia itu bukanlah demi diri kita sahaja, tetapi demi tujuan melayani umat Tuhan, yakni tubuh Kristus (ayat 5). Kurnia-kurnia ini merupakan pernyataan rahmat dan kebaikan-Nya, yang bekerja dalam dan melalui setiap kita, supaya kita masing-masing menjadi wadah yang unik dalam pelayanan Tuhan.