Joy prihatin terhadap saudarinya Sandy, yang sudah bertahun-tahun bergelut dengan ketagihan alkohol dan masalah kesihatan mental. Ketika Joy pergi ke apartmen Sandy, pintu terkunci, dan seolah-olah tiada orang di situ. Semasa dia dan beberapa orang lain bersedia untuk mencari Sandy, Joy berdoa, “Ya Tuhan, tolonglah aku melihat apa yang tidak aku nampak.” Ketika mereka hendak bertolak, Joy melihat kembali ke apartmen Sandy dan terlihat langsir beralih dengan sangat perlahan. Pada saat itu, dia tahu bahawa Sandy masih hidup. Walaupun bantuan kecemasan diperlukan untuk mengeluarkan Sandy dari apartmennya, Joy bersukacita atas doa yang dijawab ini.
Nabi Elisa mengetahui kuasa meminta Tuhan untuk menyatakan siapa diri-Nya. Apabila tentera Aram mengepung kota mereka, pembantu Elisa menggigil ketakutan. Elisa pula tidak takut kerana dengan pertolongan Tuhan, Elisa nampak apa yang tidak kelihatan. Elisa berdoa agar pembantunya juga dapat melihat, dan “TUHAN membuka mata pembantu itu sehingga dia dapat melihat bahawa sesungguhnya gunung itu penuh dengan kuda dan rata berapi” (2 Raja-Raja 6:17).
Tuhan membuka tabir antara dunia rohani dan dunia jasmani untuk Elisa dan pembantunya. Joy percaya bahawa Tuhan membantu dia melihat liukan tirai yang perlahan, untuk memberinya harapan. Kita juga boleh meminta-Nya supaya memberi kita penglihatan rohani untuk memahami apa yang berlaku di sekeliling kita, sama ada keadaan orang kesayangan kita atau komuniti kita. Maka kita juga boleh menjadi duta Tuhan yang tahu berkongsi kasih, kebenaran dan belas kasihan-Nya.