Siri filem Rocky mengisahkan seorang petinju setahun jagung. Azamnya yang tidak kunjung padam akhirnya membuat dia mengatasi kemungkinan yang tipis sekali untuk menjadi juara kelas berat. Dalam filem Rocky III, Rocky yang kini sudah berjaya menjadi megah atas pencapaiannya. Penglibatannya dalam periklanan televisyen menggendalakan masa latihannya di gim. Juara itu menjadi lemah, akhirnya dia dikalahkan oleh pencabarnya. Filem ini seterusnya menceritakan kesungguhan Rocky untuk mendapatkan kekuatan juangnya semula.
Dari segi rohani, Raja Asa dari Yehuda juga kehilangan kekuatan juangnya. Pada awal pemerintahan, dia bergantung pada Tuhan untuk menghadapi sebarang cabaran yang menggerunkan. Ketika orang Kush yang perkasa bersiap-siap untuk menyerang mereka, Asa berdoa, “Tolonglah kami, ya TUHAN, Allah kami, kerana kami bersandar kepada-Mu dan dengan nama-Mulah kami maju melawan pasukan ini” (2 Tawarikh 14:11). Tuhan menjawab doanya, dan negara Yehuda mengalahkan dan mencerai-beraikan musuh mereka (ayat 12-15).
Bertahun-tahun kemudian, negara Yehuda diancam lagi. Kali ini Asa tidak mengendahkan Tuhan dan sebaliknya meminta bantuan raja Aram (16:2-3). Rancangan itu seolah-olah berkesan. Akan tetapi, Tuhan tidak berkenan. Nabi Hanani memberitahu Asa bahawa dia tidak lagi bersandar pada Tuhan (ayat 7-8). Mengapakah dia tidak lagi bergantung pada Tuhan sekarang seperti yang dilakukannya dahulu?
Tuhan kita pasti boleh dipercayai. Mata-Nya “menjelajah seluruh bumi untuk memberikan kekuatan kepada orang yang tulus hati terhadap-Nya” (ayat 9). Apabila kita menjaga kekuatan rohani kita—bergantung sepenuhnya pada Tuhan—kita akan mengalami kuasa-Nya.