Waktu kecil, anak perempuan saya suka bermain dengan kepingan keju Swiss ketika makan tengah hari. Dia akan meletakkan pastel kuning empat segi tepat itu di mukanya seperti sebuah topeng, sambil berkata, ”Tengok ibu,” mata hijaunya yang berkilau kelihatan dari dua lubang keju tersebut. Sebagai seorang ibu muda, topeng keju Swiss itu menggambarkan usaha saya—memberi segalanya dengan penuh kasih, tetapi sangat tidak sempurna pada masa yang sama. Disebabkan semua lubang itu (yakni kekurangan), saya tidak dapat menjadi suci.
Kita amat menginginkan kehidupan yang kudus—hidup yang dikhaskan untuk Tuhan dan dipenuhi dengan karakter Yesus. Tetapi dari hari demi hari, kekudusan seakan-akan tidak dapat dicapai. Begitu banyak “lubang” masih kelihatan dalam hidup kita.
Dalam 2 Timotius 1:6-7, Paulus menulis kepada Timotius, iaitu anak didiknya, supaya dia menjalani kehidupan yang kudus sesuai dengan panggilannya. Kemudian rasul itu menerangkan bahawa “Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia” (ayat 9). Hidup ini mampu dijalani bukan kerana karakter kita, tetapi oleh kasih kurnia Tuhan. Sambung Paulus, “Kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus sebelum permulaan zaman” (AYAT 9). Adakah kita ingin menerima kasih kurnia Tuhan ini dan menjalani kehidupan yang suci melalui kuasa yang disediakan-Nya?
Sama ada dalam hal yang melibatkan penjagaan anak, perkahwinan, kerja, atau mengasihi orang di sekeliling kita, Tuhan mahu kita hidup kudus. Kita dapat melakukannya bukan kerana usaha kita tetapi kerana kasih kurnia-Nya.