Saya dan dua orang rakan sedang menunaikan hasrat sepanjang hidup kami—mendaki Grand Canyon. Ketika kami tertanya-tanya jika kami membawa air yang mencukupi, secara tidak sangka air kami habis dengan cepat. Air kami habis sepenuhnya sedangkan masih ada beberapa kilometer sebelum kami sampai ke puncak. Sambil tercungap-cungap, kami berdoa. Kemudian apabila kami sampai di suatu sudut, keajaiban berlaku! Kami menjumpai tiga botol air terselit di celah batu dengan nota: “Agak tahu anda akan perlu air. Nikmatilah!” Kami memandang satu sama lain dengan rasa tidak percaya, membisikkan ucapan terima kasih kepada Tuhan, lalu dengan penuh kehausan, kami menghirup air tersebut, kemudian melangkah ke rentangan jalan yang terakhir. Saya tidak pernah begitu dahaga—dan bersyukur—dalam hidup saya.
Walaupun pemazmur tidak pernah pergi ke Grand Canyon, jelasnya dia tahu bagaimana seekor rusa akan bertindak apabila dahaga dan mungkin takut. Rusa “merindui” (Mazmur 42:1), perkataan yang mengingatkan kita tentang rasa dahaga dan lapar, sehingga jika tiada apa-apa tindakan yang diambil, anda akan mati. Pemazmur menyamakan tahap kehausan rusa dengan kerinduannya kepada Tuhan: “demikianlah jiwaku merindui-Mu, ya Allah” (ayat 1).
Seperti air yang sangat diperlukan, Tuhan ialah pertolongan kita yang sentiasa ada. Kita rindu kepada-Nya kerana Dia membawa kekuatan dan kesegaran yang diperbaharui ke dalam kehidupan kita yang lelah, melengkapi kita untuk menghadapi apa jua keadaan hidup kita.
Bilakah anda berasa sangat dahaga atau lapar, dan takut? Mengapakah anda harus merindui kehadiran Tuhan?
Tuhan yang penyayang, terima kasih atas kekuatan yang diperbaharui yang aku alami apabila Engkau mengisi hidupku. Ampuni aku kerana mencari sumber lain selain Engkau.
Mazmur 42 merupakan mazmur pertama daripada sebelas mazmur yang dikaitkan dengan puak Korah (juga Mazmur 44–49; 84–85; 87–88). Tetapi siapakah mereka? Perkataan
puak di sini bermakna keturunan—bukan anak-anak lelaki langsung—daripada seorang lelaki bernama Korah, yang adalah sebahagian komplot untuk menggulingkan kepimpinan Musa semasa mereka mengembara di padang gurun dalam kitab Keluaran. Korah (daripada suku Lewi), Datan, Abiram, dan On—bersama dengan 250 kaum pemimpin yang dihormati—berkomplot dalam rancangan ini (Bilangan 16:1-3). Betapa ironisnya bahawa bertahun-tahun kemudian, keturunan Korah akan mengikut laluan yang ditentukan bagi orang Lewi (lihat fasal 18) untuk menjadi pemimpin-pemimpin ibadah bagi bangsanya. Suara bantahan yang berubah menjadi suara beribadah merupakan sebuah kisah penebusan yang indah.
Bill Crowder