Rasanya ikon “suka”— ibu jari kecil di Facebook—telah bersama kita sejak dulu lagi. Tetapi ternyata simbol mengiakan secara maya ini baru wujud kira-kira pada tahun 2009.
Justin Rosenstein, iaitu pereka ikon “suka” ini , berkata dia mahu membantu mencipta “dunia yang orang ramai saling mendukung, bukannya saling menjatuhkan.” Tetapi Rosenstein turut merungut kerana ciptaannya itu mungkin telah mendatangkan ketagihan yang tidak sihat kepada para pengguna terhadap media sosial.
Saya fikir ciptaan Rosenstein berbicara kepada keperluan tegar kita terhadap pengesahan dan perhubungan. Kita ingin tahu bahawa orang lain mengenali kita, perasan akan kewujudan kita—dan, ya, suka akan kita. Ikon “suka” itu agak baru. Tetapi kerinduan kita untuk mengenali dan dikenali telah lama wujud ketika Tuhan menciptakan manusia.
Namun, ikon suka itu pun tidak dapat memuaskan keinginan kita, bukan? Syukurlah, kita melayani Tuhan yang kasih-Nya jauh lebih dalam daripada pengesahan digital ini. Dalam Yeremia 1:5, kita menyaksikan sebelum Tuhan memanggil nabi Yeremia, telah wujudnya perhubungan yang penuh tujuan. “ Sebelum Aku membentuk engkau dalam kandungan, Aku telah mengenal engkau, sebelum engkau keluar dari rahim, Aku telah mentahbiskan engkau.”
Tuhan mengenali nabi itu bahkan sebelum dia dalam kandungan dan membentuknya untuk kehidupan yang bermakna dan bermisi (ayat 8-10). Dia juga menjemput kita mengalami kehidupan yang bermatlamat apabila kita mengenali Bapa ini, Bapa yang mengenali kita dengan begitu akrab, penuh kasih dan kesukaan.