Ketika anak lelaki Keri yang masih kecil harus menjalani satu lagi pembedahan yang berkaitan dengan distrofi otot (kelemahan progresif dan kemerosotan otot rangka), dia mahu mengalihkan fikirannya daripada situasi keluarganya dengan melakukan sesuatu untuk orang lain. Oleh itu, dia mengumpulkan kasut anaknya yang sudah lama tetapi masih bagus dan mendermakannya kepada sebuah pelayanan. Pemberiannya mendorong rakan dan ahli-ahli keluarga serta jirannya untuk turut serta, dan tidak lama kemudian lebih daripada dua ratus pasang kasut telah disumbangkan!
Walaupun tujuan asal sumbangan kasut itu bertujuan untuk memberkati orang lain, Keri merasakan keluarganya lebih diberkati. “Seluruh pengalaman itu benar-benar menaikkan semangat kami dan membantu kami memerhatikan orang lain.”
Paulus memahami betapa pentingnya bagi pengikut Yesus untuk memberi dengan murah hati. Dalam perjalanannya ke Yerusalem, rasul Paulus singgah di Efesus. Dia tahu itu mungkin lawatan terakhirnya kepada jemaah yang diasaskannya itu. Dalam ucapan perpisahannya kepada para pemimpin di gereja itu, dia mengingatkan mereka bagaimana dia bekerja dengan tekun untuk melayani Tuhan (Kisah Para Rasul 20:17-20) dan menggalakkan mereka supaya melakukan perkara yang sama (ayat 35). Kemudian dia mengakhiri dengan kata-kata Yesus: “Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima” (ayat 35).
Yesus mahu kita memberi dengan rendah hati tanpa mengharapkan balasan (Lukas 6:38). Apabila kita mempercayai bimbingan-Nya, Dia akan memberi kita peluang untuk memberi. Seperti keluarga Keri, kita mungkin akan terkejut dengan kegembiraan yang kita alami kerana memberi.