Semasa sesi pembelajaran Alkitab pada pagi Sabtu, seorang bapa berkongsi tentang kebingungannya, kerana anak perempuan kesayangannya yang suka mengingkar telah kembali, tetapi dia tidak selesa dengannya di rumah kerana kelakuannya. Seorang lagi peserta berasa tidak sihat disebabkan penyakit jangka panjang dan usia tua. Dia telah berjumpa banyak doktor tetapi usaha itu hanya membuahkan kemajuan yang minimum. Oleh sebab itu, dia berkecil hati. Namun dengan campur tangan Tuhan, mereka mempelajari Markus fasal 5 pada hari itu. Apabila pembelajaran itu selesai, mereka dapat merasakan harapan dan kegembiraan semula.
Dalam Markus 5:23, Yairus, seorang bapa yang mempunyai anak yang sakit, berseru, “Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati.” Dalam perjalanan-Nya untuk melawat anak gadis itu, Yesus menyembuhkan seorang wanita yang tidak disebutkan namanya daripada masalah kesihatan yang sudah lama dialaminya, dengan berkata, “ Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu” (ayat 34). Yairus dan wanita itu, digerakkan oleh iman kepada Yesus, mencari Dia dan mendapat semula harapan. Tetapi dalam kedua-dua kes, sebelum bertemu Yesus, keadaan mereka telah berubah daripada “buruk kepada lebih buruk”, sebelum menjadi lebih baik.
Dilema kehidupan tidak membeza-bezakan siapa kita. Tidak kira jantina atau umur, bangsa atau kelas, setiap kita akan menghadapi situasi yang membingungkan dan menggesa kita untuk mencari jawapan. Daripada membiarkan cabaran hidup kita menjauhkan kita daripada Yesus, marilah kita berusaha supaya cabaran itu menggerakkan kita memupuk kepercayaan yang lebih mendalam kepada Tuhan yang merasakan kita apabila kita menyentuh-Nya (ayat 30), dan yang boleh menyembuhkan kita.