Sinar harapan baru telah muncul untuk orang yang lumpuh akibat kecederaan saraf tunjang. Penyelidik Jerman telah menemui cara bagi merangsang pertumbuhan saraf untuk menyambung semula laluan saraf antara otot dan otak. Pertumbuhan semula tersebut telah membolehkan tikus yang lumpuh berjalan semula, dan ujian akan terus menentukan sama ada terapi itu selamat dan berkesan untuk manusia.
Apa yang ingin dicapai oleh sains bagi pihak mereka yang mengalami kelumpuhan, telah dilakukan Yesus melalui mukjizat. Apabila dia tiba di sebuah kolam di Baithasda, tempat yang ramai pesakit telah lama berada di situ dengan harapan untuk sembuh, Yesus mencari seorang lelaki yang “telah sakit selama tiga puluh lapan tahun” (Yohanes 5:5). Selepas mengesahkan bahawa lelaki itu benar-benar ingin disembuhkan, Kristus mengarahkan dia berdiri dan berjalan. “Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan” (ayat 9).
Kita tidak diberi janji bahawa semua penyakit fizikal kita akan disembuhkan oleh Tuhan. Seperti hari itu di tepi kolam, ada orang lain yang tidak disembuhkan oleh Yesus. Tetapi mereka yang menaruh kepercayaan kepada-Nya dapat mengalami penyembuhan yang dibawa oleh-Nya—putus asa menjadi harapan, kepahitan menjadi rahmat, kebencian menjadi kasih, tuduhan menjadi kesediaan untuk memaafkan. Tiada penemuan saintifik (atau kolam air) boleh menawarkan kita penyembuhan sedemikian; ia hanya datang dengan iman.
Di manakah anda tergoda untuk mencari penyembuhan secara rohani selain Tuhan? Bagaimanakah anda didorong apabila mengetahui bahawa satu hari nanti orang yang percaya kepada Yesus akan mengalami penyembuhan fizikal yang lengkap juga?
Terima kasih Tuhan, kerana menyembuhkan penyakit terbesarku—tulah dosa—dan memulihkan kesihatan rohaniku melalui Yesus.
Oleh sebab Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat, “orang Yahudi mula memusuhi Yesus” (Yohanes 5:16). Sebagai tindak balas-Nya, Dia memberitahu mereka, “Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku” (ayat 17). Ini membuat mereka sangat marah sehingga ia “mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya” (ayat 18). Bagi mereka, Kristus patut mati kerana Dia bukan sahaja melanggar peraturan hari Sabat tetapi menghujat dengan memanggil Tuhan sebagai Bapa-Nya. Mukjizat yang dilakukan Yesus pada hari Sabat bukan satu-satunya yang membuatkan para pemimpin marah. Dia juga menghalau roh jahat (Markus 1:21-28), menyembuhkan tangan yang lumpuh (Matius 12:9-13), menyembuhkan seorang perempuan yang bongkok (Lukas 13:10-17) dan seorang lelaki “yang sakit busung” (14:2). Para pemimpin Yahudi juga marah kerana para murid Yesus memetik bulir gandum pada hari Sabat. Dia memberitahu mereka, “Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat. Jadi Anak Manusia jugalah Tuhan atas hari Sabat” (Markus 2:27-28).
Alyson Kieda