Dua setengah tahun selepas Presiden Abraham Lincoln mengisytiharkan pembebasan perhambaan dan Negeri-Negeri Gabungan telah menyerah, negeri Texas masih tidak mengakui kebebasan setiap abdi. Walau bagaimanapun, pada 19 Jun 1865, jeneral tentera pihak Kesatuan, iaitu Gordon Granger datang ke Galveston, Texas, dan menuntut supaya semua abdi dibebaskan. Bayangkan kejutan dan kegembiraan yang dirasai apabila belenggu dilepaskan dan berita tentang pembebasan mereka yang berada dalam perhambaan diumumkan.
Tuhan melihat orang yang tertindas, dan Dia akhirnya akan mengumumkan kebebasan bagi mereka yang berada di bawah beban ketidakadilan. Ini benar pada masa sekarang seperti yang berlaku pada zaman Musa. Tuhan menampakkan diri kepadanya dari semak yang menyala dengan mesej yang mendesak ini: “Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir” (Keluaran 3:7). Dia bukan sahaja melihat kekejaman Mesir terhadap Israel—tetapi Dia juga merancang untuk melakukan sesuatu terhadapnya. “Aku turun untuk membebaskan mereka,” kata Tuhan, “dan membawa mereka … ke sebuah negeri yang luas dan kaya” (ayat 8). Dia berniat untuk mengisytiharkan kebebasan kepada Israel, dan Musa akan menjadi jurucakap. “Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel,” kata Tuhan kepada hambanya, ”iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir” (ayat 10).
Walaupun masa Tuhan mungkin tidak berlaku secepat yang kita harapkan, suatu hari nanti Dia akan membebaskan kita daripada segala perhambaan dan ketidakadilan. Dia memberi harapan dan pembebasan kepada semua orang yang tertindas.