James Morris pernah digambarkan sebagai “orang percaya biasa yang buta huruf tetapi baik hati,” tetapi Tuhan menggunakan dia untuk memimpin Augustus Toplady percaya kepada keselamatan dalam Yesus Kristus. Toplady, iaitu penggubah bagi lagu pujian yang terkenal, “Batu Zaman yang Teguh” (Rock of Ages) pada abad kelapan belas, memberikan huraian ini setelah mendengar khutbah Morris: “Sukar dipercayai, … di tengah-tengah sekumpulan kecil umat Tuhan yang berkumpul di sebuah bangsal, saya mendengar seseorang yang sukar untuk mengeja namanya sendiri sedang berkongsi Injil. Sesungguhnya inilah perbuatan Tuhan, dan itu menakjubkan.”
Sesungguhnya, Tuhan melakukan perkara-perkara yang menakjubkan di tempat-tempat yang tidak dijangka dan melalui mereka yang mungkin kita anggap sebagai “tidak layak” atau biasa. Dalam 1 Korintus 1, Paulus mengingatkan orang Kristian bahawa mereka adalah sekumpulan orang yang tidak menarik. “Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan” (ayat 26). Walaupun orang-orang percaya di Korintus adalah orang biasa, dengan anugerah Tuhan mereka tidak kekurangan dalam kurnia dan kemahiran (lihat ayat 7), dan Tuhan bekerja antara mereka dan melalui mereka. Tuhan tahu bagaimana untuk membuat orang yang bermegah berasa malu (ayat 27–29).
Adakah anda melihat diri anda sebagai “sederhana”, “biasa” atau “kekurangan sesuatu”? Jangan gusar. Jika anda mempunyai Yesus dan bersedia untuk digunakan oleh-Nya, sudahlah memadai. Semoga doa hati anda berbunyi, “Tuhan, gunakan saya!”
Siapakah yang terlintas di fikiran anda, seseorang yang telah digunakan oleh Tuhan secara senyap tetapi berkesan? Apakah yang boleh anda lakukan untuk membantu mengalihkan tumpuan anda daripada apa yang anda ada atau tidak ada, kepada apa yang boleh dilakukan Tuhan melalui anda?
Bapa Syurgawi, maafkan aku kerana memberi tumpuan kepada diriku sendiri dan bukannya Engkau. Gunakan aku di mana pun aku berada, untuk melakukan pelayanan suci-Mu.
Gereja di Korintus telah ditubuhkan oleh Paulus dalam perjalanan mubalighnya yang kedua (sekitar TM 50). Lebih kurang empat tahun kemudian, pada penghujung perjalanan mubalighnya yang ketiga, dia menulis kepada sebuah gereja yang menghadapi konflik jemaah, penyalahgunaan kebebasan, kemegahan, tidak bermoral dan perpecahan. Paulus menangani punca masalah mereka—sikap mereka yang suka bermegah (1 Korintus 1:26-31). Dia memperingatkan mereka bahawa mereka bukan kumpulan atasan yang berpengaruh dan berkuasa seperti yang difikirkan—ahli falsafah yang bijak, berkuasa atau bangsawan. Sebaliknya mereka adalah bodoh, lemah, berakhlak rendah dan dihina (ayat 27-28). Namun Tuhan memilih mereka untuk menjadi anak-anak-Nya berdasarkan kasih kurnia-Nya, bukan kerana perbuatan baik mereka. Oleh itu, “tiada siapa pun dapat bermegah di hadirat Allah” (ayat 29; lihat ayat 4-5). Dalam suratnya yang lain, Paulus juga memperingatkan kita, “Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman—ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah—bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah” (Efesus 2:8-9).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)