Apabila Dewan Rakyat Britain dibom pada waktu Perang Dunia II, Perdana Menteri Winston Churchill memberitahu Parlimen bahawa mereka mesti membina semula dewan itu mengikut reka bentuk asalnya. Bangunan itu mestilah kecil, supaya perdebatan antara ahli-ahli dewan diadakan secara bersemuka. Bentuknya mestilah bujur dan bukannya separuh bulatan, membenarkan ahli-ahli politik “bergerak di sekitar pusat”. Ini mengekalkan sistem parti di Britain, bahawa ahli politik sayap kiri dan kanan berhadapan antara satu sama lain di dalam bilik dewan, dan mereka memerlukan pertimbangan yang teliti sebelum beralih pihak. Churchill membuat kesimpulan ini, “Kita membentuk bangunan kita dan selepas itu bangunan kita pula yang membentuk kita.”
Tuhan nampaknya bersetuju dengan idea ini. Tujuh fasal dalam kitab Keluaran (fasal 25-31) memberikan arahan tentang pembinaan khemah, dan enam lagi (fasal 35-40) menerangkan bagaimana Israel melakukannya. Tuhan mengambil berat tentang ibadah mereka. Apabila orang ramai memasuki halaman khemah, emas yang berkilauan dan tirai berwarna-warni di khemah suci (26:1, 31-37) mempesonakan mereka. Mazbah untuk korban bakaran (27:1-8) dan besen air (30:17-21) mengingatkan mereka tentang pengorbanan yang terlibat untuk pengampunan mereka. Khemah suci mengandungi kaki pelita (25:31-40), meja bagi roti persembahan (25:23-30), mazbah pendupaan (tempat membakar kemenyan, 30:1-6), dan tabut perjanjian (25:10-22). Setiap barang mempunyai kepentingan yang nyata.
Tuhan tidak memberi kita arahan yang terperinci untuk membina ruang ibadah kita seperti arahan-Nya kepada Israel, namun ibadah kita juga sama penting. Kita sendiri sepatutnya menjadi sebuah khemah suci yang dikhususkan supaya Tuhan dapat tinggal di dalamnya. Semoga semua yang kita lakukan mengingatkan kita tentang siapa Dia dan apa yang dilakukan-Nya.