Selepas Oseola McCarty bekerja keras sebagai tukang cuci selama tujuh puluh tahun—menggosok, mengeringkan dan menekan pakaian dengan tangan—akhirnya dia bersedia untuk bersara pada usia lapan puluh enam tahun. Dia telah menyimpan pendapatannya yang tidak seberapa selama bertahun-tahun dengan sungguh-sungguh, dan hasilnya mengejutkan komunitinya, Oseola menderma 150,000 dolar kepada universiti berhampiran untuk mewujudkan dana biasiswa bagi pelajar yang memerlukan. Diilhamkan oleh pemberiannya yang tidak mementingkan diri sendiri tersebut, ratusan orang menderma sehingga jumlah pemberian itu mencapai tiga kali ganda.
Oseola memahami bahawa nilai sebenar kekayaannya bukan untuk keuntungan diri sendiri, tetapi untuk memberkati orang lain. Rasul Paulus menasihati Timotius untuk memerintahkan orang-orang yang kaya di dunia ini “supaya kaya dengan amal kebajikan” (1 Timotius 6:18). Setiap kita telah diberikan kekayaan untuk melayani, sama ada dalam bentuk kewangan atau sumber lain. Paulus mengingatkan kita meletakkan harapan kita hanya kepada Tuhan (ayat 17), bukannya mempercayai sumber yang kita miliki, malah menyimpan harta di syurga dengan menjadi seorang yang “sedia memberi, rela berkongsi” (ayat 18).
Dalam ekonomi Tuhan, sikap yang mementingkan diri dan tidak bermurah hati hanya membawa kekosongan. Memberi kepada orang lain kerana kasih adalah cara untuk menemukan kepuasan hati. “Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar”, bukannya selalu ingin mendapatkan lebih banyak lagi (ayat 6). Apakah yang akan berlaku jika kita memberikan sumber yang kita ada dengan bermurah hati, seperti Oseola? Hari ini, marilah kita berusaha untuk menjadi kaya dengan melakukan perbuatan baik di bawah pimpinan Tuhan.