Fobia ditakrifkan sebagai “ketakutan yang tidak rasional” terhadap perkara atau situasi tertentu. Arachnofobia ialah ketakutan terhadap labah-labah (walaupun ada yang berpendapat itu adalah makhluk yang memang patut ditakuti!). Kemudian terdapat globofobia dan xokolatofobia. Ini dan kira-kira empat ratus fobia yang lain adalah nyata dan didokumentasikan. Nampaknya kita boleh menjadi takut kepada apa sahaja.

Alkitab menceritakan ketakutan orang Israel selepas menerima Sepuluh Perintah Tuhan: “Seluruh umat itu menyaksikan guruh dan kilat … Maka gementarlah mereka dalam ketakutan” (Keluaran 20:18). Musa menenangkan mereka, dengan menawarkan pernyataan yang paling menarik ini, “Jangan takut, kerana Allah telah datang untuk menguji kamu supaya kamu sentiasa takut kepada-Nya” (ayat 20). Musa nampaknya bercanggah dengan dirinya sendiri: “Jangan takut tetapi takutlah.” Sebenarnya, perkataan Ibrani untuk ”takut” mengandungi sekurang-kurangnya dua makna—menggigil dalam ketakutan terhadap sesuatu atau rasa hormat dan kagum akan Tuhan.

Kita mungkin ketawa apabila mengetahui bahawa globofobia ialah ketakutan terhadap belon dan xokolatofobia ialah ketakutan terhadap coklat. Kesimpulan yang lebih serius tentang fobia ialah kita boleh takut dengan semua jenis perkara. Ketakutan menyelinap ke dalam hidup kita seperti labah-labah, dan dunia boleh menjadi tempat yang menakutkan. Semasa kita bergelut dengan pelbagai fobia dan ketakutan, kita patut diingatkan bahawa Tuhan kita ialah Tuhan yang hebat, Dia menawarkan kita penghiburan-Nya walaupun kita dalam kegelapan.