Tiada sesiapa akan menyangka Jørn (disebutkan “yon”), yakni seorang pekebun kecil akan memperoleh apa-apa pencapaian dalam kehidupannya. Namun di sebalik penglihatannya yang lemah dan batasan fizikal yang lain, dia selalu mendoakan setiap orang di kampungnya di Norway, ketika kesakitan badan membuatkan dia terjaga pada waktu malam. Jørn mendoakan setiap keluarga di kampungnya, menyebutkan nama setiap orang, malah kanak-kanak yang belum dikenalinya. Orang ramai menyukai semangatnya yang lembut dan sering meminta nasihatnya yang bijaksana. Jika dia tidak dapat membantu mereka secara praktikal, mereka masih berasa diberkati kerana telah merasai kasihnya. Ketika Jørn meninggal dunia, pengebumiannya adalah yang terbesar dalam komuniti itu, walaupun dia tidak mempunyai keluarga di sana. Doanya mekar dan membuahkan hasil yang melebihi apa yang dibayangkannya.
Lelaki yang rendah hati ini mengikuti teladan rasul Paulus, yang mengasihi orang yang dilayaninya dan mendoakan mereka semasa dia berada dalam kurungan. Dia menulis kepada jemaah di Efesus mungkin semasa dia dipenjarakan di Roma, doanya adalah agar Tuhan memberikan mereka “roh kebijaksanaan dan wahyu” dan agar Tuhan “ menerangkan mata hati” mereka (Efesus 1:17-18). Dia berhasrat agar mereka akan mengenali Yesus dan hidup dengan kasih dan kesatuan melalui kuasa Roh.
Jørn dan rasul Paulus menyerahkan diri mereka kepada Tuhan, menyerahkan orang yang dikasihi dan pelayanan mereka kepada Tuhan dalam doa. Hari ini marilah kita mencontohi teladan mereka dalam cara kita mengasihi dan melayani orang lain.