Setiap tahun, lebih daripada dua ratus juta orang daripada pelbagai agama melakukan ziarah ke tempat suci. Di sepanjang zaman, kebanyakan orang menganggap tugas seorang penziarah adalah pergi ke tempat suci untuk menerima berkat. Tujuan semua ini adalah semata-mata untuk sampai ke kuil, katedral, tokong atau destinasi lain, tempat yang orang boleh menerima berkat.
Bagaimanapun, orang Kristian berbangsa Celt di Britain mempunyai pandangan yang berbeza tentang penziarahan. Mereka pergi ke hutan tanpa arah atau membiarkan perahu mereka hanyut ke mana pun lautan membawa mereka—penziarahan ke tempat suci bagi mereka adalah mempercayai Tuhan di wilayah yang tidak dikenali. Sebarang berkat tidak ditemui di destinasi, tetapi di sepanjang perjalanan.
Ibrani 11 ialah petikan penting bagi orang-orang Celt. Memandangkan kehidupan dalam Kristus adalah tentang meninggalkan cara hidup dunia dan mengembara seperti orang asing ke kota Tuhan (ayat 13-16), penziarahan seperti ini menjadi sesuatu yang tepat untuk menggambarkan perjalanan hidup mereka. Dengan percaya bahawa Tuhan akan menyediakan keperluan di sepanjang jalan mereka yang sukar dan tidak pernah dijejak orang, penziarah memelihara iman yang dipraktikkan oleh tokoh-tokoh iman zaman dahulu (ayat 1-12).
Ini merupakan sebuah pengajaran yang berharga, sama ada kita betul-betul menziarahi ke sesuatu tempat atau tidak, namun bagi orang yang percaya kepada Yesus, kehidupan kita seumpama menempuh penziarahan ke negara syurga Tuhan, penuh hutan gelap, jalan buntu dan ujian. Sepanjang perjalanan ini, semoga kita tidak terlepas menikmati berkat yang dibawa oleh pertolongan Tuhan.