Selepas mengalami kemusnahan yang disebabkan oleh taufan Katrina pada tahun 2005, New Orleans berusaha untuk membina semula secara perlahan-lahan. Salah satu kawasan yang paling terjejas ialah Lower Ninth Ward, dan penduduk tempatannya sukar untuk memperoleh keperluan asas selama bertahun-tahun selepas taufan itu. Penduduk tempatan Burnell Cotlon berusaha untuk mengubah keadaan ini. Pada November 2014, dia membuka kedai runcit pertama di kawasan yang terjejas itu. “Apabila saya membeli bangunan itu, semua orang menganggap saya gila,” kata Cotlon. Tetapi “pelanggan pertama saya menangis kerana dia … tidak pernah menyangka [kawasan kejiranan] ini akan pulih.” Ibu Colton berkata anak lelakinya “melihat sesuatu yang saya tidak nampak. Saya gembira dia … mengambil peluang itu.”
Tuhan membolehkan nabi Yesaya melihat masa depan yang penuh dengan harapan walaupun dalam kehancuran. Tuhan melihat “fakir miskin dan orang sesak mencari air tetapi tidak ada” (Yesaya 41:17), maka Dia berjanji untuk “membuat gurun menjadi kolam air dan tanah tandus menjadi pancaran air” (ayat 18). Apabila umat Tuhan tidak lagi lapar dan dahaga, tetapi mengalami kemakmuran sekali lagi, umat-Nya itu akan tahu bahawa “tangan TUHAN telah membuat hal itu” (ayat 20).
Tuhan masih lagi Penguasa yang memperbaharui segalanya, bekerja untuk mewujudkan masa depan yang “ciptaan itu sendiri akan dibebaskan daripada belenggu kemusnahan” (Roma 8:21). Ketika kita percaya pada kebaikan-Nya, Dia membantu kita melihat masa depan yang penuh harapan.