Untuk menyatakan kesedihan, Allie, seorang gadis muda, menulis pada sekeping kayu dan meletakkannya di sebuah taman permainan: “Sejujurnya, aku sedih. Tiada sesiapa mahu bermain dengan aku, dan satu-satunya orang yang mendengar aku pun tidak datang lagi. Aku menangis setiap hari.”
Apabila seseorang menemui nota itu, dia membawa kapur ke taman itu dan meminta orang ramai menuliskan kata-kata mereka kepada Allie. Berpuluh-puluh kata sokongan ditinggalkan oleh beberapa pelajar dari sekolah berhampiran: “Kami sayang padamu.” “Tuhan mengasihimu.” “Awak dikasihi.” Pengetua sekolah itu berkata, “Inilah satu cara sederhana yang kita dapat berhubung dengan gadis muda itu dan mungkin dapat membantu mengisi kekosongan dalam hatinya. Allie menyatakan keadaan setiap kita kerana pada satu ketika, kita pernah atau akan mengalami kesedihan dan penderitaan.”
Ungkapan “Anda dikasihi” mengingatkan saya tentang berkat indah yang diungkapkan Musa kepada suku Benyamin dari Israel, sejurus sebelum dia meninggal: “Biarlah kekasih TUHAN itu berdiam di sisi-Nya dengan aman” (Ulangan 33:12). Musa ialah pemimpin yang diberikan kuasa oleh Tuhan. Dia mengalahkan musuh bangsa, menerima Sepuluh Perintah dan menggesa umat Israel mengikut Tuhan, malah berkata bahawa mereka dikasihi Tuhan. Kita juga dikasihi oleh Tuhan, kerana Yesus berkata, “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal [kepada kita]” (Yohanes 3:16).
Ketika Tuhan menolong kita yakin dengan kebenaran yang mengatakan bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus adalah “dikasihi”, kita boleh menghulurkan kasih kepada orang lain seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan baru Allie.