Andrew Card pernah menjadi Ketua Kakitangan bagi Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush. Dalam satu sesi temu bual mengenai peranannya di Rumah Putih, dia menjelaskan, “Di setiap pejabat kakitangan ada pernyataan misi yang berbingkai ini, ‘Kami dengan rela hati berkhidmat atas kehendak Presiden’. Tetapi itu bukan bermakna bahawa kami berkhidmat untuk menyenangkan hati Presiden. Sebaliknya, kami berkhidmat untuk memberitahu apa yang dia perlu tahu tentang tugasnya.” Tugasnya ialah mentadbir Amerika Syarikat.
Dalam banyak peranan dan hubungan manusia, kita mudah menyenangkan hati orang dan bukannya membina kesatuan antara satu sama lain, seperti yang sering digalakkan oleh rasul Paulus. Dalam Efesus 4, Paulus menyatakan, “Dan Dialah [Yesus] yang memberi sesetengah orang menjadi rasul, nabi, penyebar Injil, pembimbing jemaah dan pengajar, untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh Kristus. Dengan itu, kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Anak Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan Kristus” (ayat 11-13). Dalam ayat 15-16, Paulus mendedahkan kecenderungan kita yang suka menyenangkan hati orang, menekankan bahawa kasih kurnia ini harus dinyatakan dengan “bercakap benar dalam kasih” supaya “seluruh tubuh … bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.”
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita melayani orang untuk membina mereka dan mencapai tujuan Tuhan. Sama ada kita menyenangkan hati orang lain atau tidak, kita akan menyenangkan hati Tuhan kerana Dia bekerja melalui kita untuk mewujudkan kesatuan dalam gereja-Nya.