Saya menyapa kumpulan belia kami semasa saya dan suami saya mengedarkan Alkitab. “Tuhan akan menggunakan pemberian yang tidak ternilai ini untuk mengubah hidup anda,” kata saya. Malam itu, beberapa orang pelajar komited untuk membaca kitab Yohanes bersama-sama. Kami terus menjemput mereka membaca Alkitab di rumah, sementara kami mengajar mereka dalam perjumpaan mingguan kami. Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, saya terjumpa salah seorang pelajar kami. “Aku masih menggunakan Alkitab yang kamu berikan kepadaku,” katanya. Kehidupan pelajar perempuan itu yang penuh iman menjadi nyata.
Tuhan memberikan kuasa kepada umat-Nya bukan sahaja untuk membaca, menghafal dan mengingat ayat-ayat Alkitab. Dia menolong kita “hidup suci” dengan “mentaati” perintah-Nya (Mazmur 119:9, TMV). Tuhan mahu kita mencari dan mentaati-Nya kerana Dia menggunakan kebenaran-Nya yang kekal dan tidak berubah untuk membebaskan kita daripada dosa dan mengubah kita (ayat 10-11). Kita boleh meminta Tuhan menolong kita mengenali-Nya setiap hari dan memahami firman-Nya dalam Alkitab (ayat 12-13).
Apabila kita menyedari harga yang tidak ternilai dalam kehidupan yang mengikut jalan Tuhan, kita boleh “bergembira” dalam peraturan-Nya seperti orang yang bergembira “dengan segala kekayaan” (ayat 14-15). Seperti pemazmur, kita boleh menyanyi, “Aku akan menikmati ketetapan-Mu, aku tidak akan melupakan firman-Mu” (ayat 16). Apabila kita memohon Roh Kudus untuk menguatkan kita, kita dapat menikmati setiap waktu berdoa dan membaca Alkitab—kurnia Tuhan yang mengubah hidup kita.