Dua orang pekerja di sebuah kilang gula-gula berjenama Mars di Pennsylvania terjatuh ke dalam sebuah tong coklat yang sangat besar. Kejadian ini mungkin kedengaran seperti suatu jenaka, dan mungkin merupakan kesusahan yang menarik bagi penggemar coklat! Walaupun kedua-dua lelaki tersebut tidak cedera, mereka telah terperangkap sedalam paras pinggang dalam konfeksi coklat tersebut dan tidak dapat keluar. Akhirnya anggota bomba terpaksa menggerudi lubang di bahagian sebelah tong tersebut untuk menyelamatkan mereka.

Apabila nabi Yeremia mendapati dirinya berada di dasar sebuah perigi yang dipenuhi lumpur, kisah ini sama sekali bukan kisah kemanisan. Sebagai utusan kepada umat Tuhan di Yerusalem, dia telah memberi amaran bahawa mereka hendaklah segera meninggalkan kota tersebut kerana tidak lama lagi “kota ini pasti diserahkan ke dalam tangan pasukan raja Babel yang akan merebutnya” (Yeremia 38:3). Beberapa orang pembesar Raja Zedekia menuntut supaya Yeremia “dihukum mati” kerana mereka mendakwa kata-katanya “mematahkan semangat saki-baki pejuang” (ayat 4). Raja bersetuju dan mereka “menurunkan [Yeremia] dengan tali ke dalam perigi” sehingga dia “terperosok ke dalam lumpur” (ayat 6).

Tetapi seorang pembesar raja, iaitu Ebed-Melekh, seorang warga asing, merayu supaya Yeremia diselamatkan. Dia mengatakan bahawa para pembesar itu telah “berbuat jahat.” Raja Zedekia menyedari dia telah melakukan kesilapan dan memerintahkan Ebed-Melekh untuk mengeluarkan Yeremia “dari perigi” (ayat 9-10).

Walaupun apabila kita melakukan perkara yang betul seperti yang dilakukan oleh Yeremia, terkadang kita berasa seolah-olah terperangkap di dalam lumpur. Marilah kita memohon kepada Tuhan untuk membangkitkan semangat kita semasa kita menunggu pertolongan-Nya dalam kesukaran yang kita hadapi.