Saya tidak pernah merancang untuk memulakan organisasi bukan untung tentang persahabatan orang dewasa, dan apabila saya rasa terpanggil untuk berbuat demikian, saya mempunyai begitu banyak persoalan. Bagaimanakah badan amal tersebut akan dibiayai dan siapakah yang harus membantu saya untuk menubuhkannya? Bantuan terbesar saya dalam perkara-perkara ini akhirnya datang bukanlah daripada buku perniagaan, tetapi secara alkitabiah.
Kitab Ezra merupakan bacaan penting bagi sesiapa yang diseru Tuhan untuk membina sesuatu. Dengan mengisahkan bagaimana orang Yahudi membina semula Yerusalem selepas pembuangan, kitab ini menunjukkan bagaimana Tuhan menyediakan dana melalui derma awam serta perbendaharaan kerajaan (Ezra 1:4-11; 6:8-10), dan bagaimana kedua-dua pihak sukarelawan dan jurubina melakukan kerja pembinaan (1:5, 3:7). Dalam kitab ini kita diberitahu betapa pentingnya waktu persiapan, kerana kerja pembinaan semula tidak bermula sehingga tahun kedua orang Yahudi pulang daripada pembuangan (3:8). Penentangan yang mungkin berlaku juga dicatatkan (fasal 4). Akan tetapi, suatu perkara dalam kisah tersebut begitu menonjol bagi saya. Setahun sebelum sebarang pembinaan bermula, orang Yahudi mendirikan mazbah (3:1-6). Mereka tetap menjalankan ibadat “walaupun asas Bait Suci TUHAN belum diletakkan” (ayat 6). Ibadat didahulukan.
Adakah Tuhan memanggil anda memulakan sesuatu yang baharu? Prinsip Ezra amat mengesankan sama ada anda memulakan badan amal, pengkajian Alkitab, projek kreatif, atau tugas baharu di tempat kerja. Projek pemberian Tuhan pun dapat mengalihkan perhatian kita daripada-Nya. Oleh itu, marilah kita menumpukan perhatian kepada Tuhan terlebih dahulu. Sebelum kita bekerja, kita beribadat dahulu.