Belakangnya bongkok, dan dia berjalan dengan menggunakan tongkat, tetapi penggembalaan rohaninya selama 6 dekad membuktikan bahawa dia mengandalkan Tuhan—sumber kekuatannya. Pada tahun 1993, Reverend William Barber II didiagnosis dengan penyakit yang melemahkan badan kerana vertebra tulang belakangnya tercantum. Secara tidak langsung, dia diberitahu, “Barber, kamu mungkin perlu mempertimbangkan kerjaya yang lain, kerana pihak gereja tidak akan mahu [seseorang yang kurang upaya] untuk menjadi pastor mereka.” Namun Barber tidak tersinggung dengan komen yang menyakitkan itu. Tuhan bukan sahaja memakai dia sebagai pastor, tetapi dia juga menjadi orang penting dan dihormati untuk orang yang terabai dan terpinggir.
Walaupun dunia ini mungkin tidak sepenuhnya mengetahui caranya untuk memperlakukan orang yang kurang upaya, Tuhan tahu. Mereka yang menghargai kecantikan dan ketegapan serta perkara yang dapat dibeli dengan wang ringgit mungkin terlepas berkat yang disusuli oleh kehancuran yang tidak dijangka. Persoalan Yakobus dan prinsip di sebalik soalan ini wajar dipertimbangkan: “Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan mewarisi kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya” (Yakobus 2:5). Apabila kesihatan, kekuatan atau perkara lain terjejas, iman kita tidak perlu turut terjejas. Dengan kuasa Tuhan, kita boleh melihat hasil yang sebaliknya. Kekurangan kita boleh menjadi peluang kita untuk mempercayai-Nya. Kehancuran yang kita alami, seperti yang berlaku kepada Yesus, dapat dipakai-Nya untuk membawa berkat kepada dunia ini.