Jarang sekali kedengaran pihak institusi mengaku bersalah selepas berlakunya sesuatu tragedi. Akan tetapi, setahun selepas kematian seorang pelajar berusia 17 tahun akibat bunuh diri, pihak sebuah sekolah yang berprestij mengakui bahawa mereka “gagal sama sekali” untuk memberikan perlindungan. Pelajar itu telah dibuli dengan kejam, walaupun para pemimpin sekolah telah mengetahui penganiayaan tersebut, mereka tidak mengambil apa-apa tindakan untuk melindunginya. Sekolah tersebut kini berkomitmen mengambil langkah penting untuk menangani kes buli dan berusaha lebih keras untuk menjaga kesihatan mental pelajar.
Kemusnahan yang disebabkan oleh perbuatan buli ialah contoh yang nyata tentang kuasa kata-kata. Dalam kitab Amsal, kita diajar supaya tidak memandang rendah kesan kata-kata, kerana “hidup dan mati ada dalam kuasa lidah” (Amsal 18:21). Apa yang kita katakan sama ada dapat menaikkan semangat atau menghancurkan hati orang lain. Bahkan kata-kata kejam dapat menjadi faktor yang meragut nyawa orang.
Jadi, bagaimanakah kita membawa hidup dengan kata-kata kita? Alkitab mengajar bahawa perkataan kita sama ada mengeluarkan kebijaksanaan atau mencurahkan kebodohan (15:2). Kita menemukan hikmat dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, sumber kuasa hikmat kita yang memberi hidup (3:13, 17-19).
Setiap kita mempunyai tanggungjawab—dalam kata-kata dan tindakan—untuk mengambil serius tentang akibat daripada kata-kata kita, dan menjaga serta melindungi mereka yang terluka hati oleh apa yang dikatakan oleh orang lain. Kata-kata jahat dapat membunuh, tetapi kata-kata berbelas kasihan dapat menyembuhkan, dengan menjadi “pokok hayat “ (15:4) bagi orang di sekeliling kita.