Pada 5 Februari 2023, Christian Atsu menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan bola sepaknya dalam satu perlawanan di Turki. Christian, yang merupakan seorang pemain bintang antarabangsa, mula belajar bermain bola sepak sebagai seorang kanak-kanak yang lari berkaki ayam di negara asalnya di Ghana. Christian percaya kepada Kristus: “Mengenal Yesus ialah perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya,” katanya. Atsu memuatkan ayat-ayat Alkitab di media sosial, berani bersuara tentang imannya, dan bertindak memperlihatkan imannya dengan membiayai sebuah sekolah untuk anak-anak yatim.
Sehari selepas gol kemenangannya, satu gempa bumi yang dahsyat menggegarkan bandar Antakya, yang dahulunya ialah Antiokhia dalam Alkitab. Bangunan pangsapuri Christian Atsu runtuh, dan dia kembali ke pangkuan Tuhan.
Dua ribu tahun yang lalu, jemaah awal bermula di Antiokhia: “Di Antiokhialah para murid mula-mula disebut orang Kristian” (Kisah Para Rasul 11:26). Barnabas, iaitu seorang rasul yang dianggap sebagai “orang baik, penuh dengan Roh Kudus” (ayat 24), berperanan penting untuk membawa orang kepada Kristus: “ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya” (ayat 21).
Kita mengagumi hidup Christian Atsu bukan untuk mengidolakannya, tetapi untuk melihat teladannya sebagai suatu peluang. Apa pun keadaan hidup kita, kita tidak tahu bila Tuhan akan memanggil kita ke pangkuan-Nya. Sebaiknya kita bertanya kepada diri kita sendiri, bagaimana kita dapat menjadi seperti Barnabas atau Christian Atsu untuk memperlihatkan kasih Kristus kepada orang lain. Itulah gol kemenangan yang melebihi segalanya.