Seorang penjenayah telah ditangkap, dan detektif menanyai pesalah tersebut mengapa dia tidak takut menyerang orang di hadapan begitu ramai saksi. Jawapannya mengejutkan: “Aku tahu mereka tidak akan melakukan apa-apa; begitulah manusia.” Komen itu menggambarkan apa yang dikenali sebagai “pengetahuan bersalah”—orang memilih untuk tidak menghiraukan sesuatu jenayah walaupun tahu jenayah itu sedang dilakukan.
Rasul Yakobus memperkatakan suatu jenis pengetahuan bersalah yang serupa, “Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa” (Yakobus 4:17).
Melalui karya penyelamatan-Nya yang sedemikian besar dalam hidup kita, Tuhan mencipta kita untuk melakukan perbuatan baik di dunia ini. Efesus 2:10 menegaskan, “Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan.” Keselamatan yang kita peroleh bukanlah hasil daripada segala perbuatan baik ini; tetapi itu hasil daripada hati kita yang diubah oleh Roh Kudus yang tinggal dalam kita. Roh Kudus memberi kita kurnia rohani untuk melengkapkan kita demi mencapai segala perkara yang diperkenankan oleh Tuhan setelah Dia memperbaharui kita (lihat 1 Korintus 12:1-11).
Sebagai hasil karya Tuhan, semoga kita akur kepada tujuan-Nya dan pekerjaan Roh-Nya supaya kita boleh menjadi saluran berkat-Nya di dunia yang sangat memerlukan Tuhan.