Beribu-ribu orang berdoa untuk Pastor Ed Dobson apabila dia didiagnosis dengan ALS (penyakit neuron motor yang boleh membawa maut) pada tahun 2000. Ramai orang percaya bahawa apabila mereka mendoakan penyembuhan dengan penuh iman, Tuhan akan menjawab doa dengan serta-merta. Selepas bergelut dengan penyakit itu selama 12 tahun, otot Ed beransur menjadi lemah (dan 3 tahun sebelum dia meninggal), ada orang bertanya tentang pandangannya mengapa Tuhan masih belum menyembuhkannya. “Aku tidak akan bertanya soalan ini, kerana tiada jawapan yang baik,” jawabnya. Isterinya Lorna, menambah, “Jika kita sentiasa asyik mahu mendapatkan jawapan, kita tidak dapat betul-betul hidup.”
Kata-kata Ed dan Lorna berunsur memuliakan Tuhan. Mereka tahu bahawa hikmah Tuhan melebihi hikmat mereka. Bagaimanapun, Ed mengaku, “Ini tidak bermakna bahawa aku sama sekali tidak bimbang tentang hari esok.” Dia faham bahawa penyakit itu akan menyebabkan dia menjadi semakin tidak upaya, dan dia tidak mengetahui apa masalah baharu yang mungkin akan timbul pada keesokan hari.
Untuk membantu dirinya fokus pada masa sekarang, Ed menaruh ayat-ayat ini di dalam keretanya, pada cermin bilik mandi, dan di sebelah katilnya: “[Tuhan] Sendiri telah berjanji, ‘Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.” Oleh itu, kita boleh berkata dengan bersemangat, ‘Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut’ ” (Ibrani 13:5-6). Setiap kali dia mula bimbang, dia akan mengulangi ayat-ayat itu untuk membantu dia memfokuskan fikirannya semula kepada kebenaran tersebut.
Tiada sesiapa pun mengetahui apa yang akan terjadi pada hari yang berikut. Mungkin apa yang dipraktikkan oleh Ed dapat membantu kita mengubah kebimbangan kita kepada peluang untuk mempercayai-Nya.