Pilgrim ialah satu pertunjukan muzikal yang berdasarkan The Pilgrim’s Progress (Perjalanan Seorang Musafir), suatu alegori tentang hidup seorang yang percaya kepada Yesus. Dalam cerita perumpamaan tersebut, semua kuasa ghaib dunia rohani diperlihatkan kepada para penonton. Watak Raja mewakili Tuhan, yang hadir di atas pentas selama hampir keseluruhan masa pertunjukan tersebut. Dia berpakaian putih dan tangkas menangkis serangan musuh, secara lemah lembut memegang tangan mereka yang dalam kesakitan, dan mendorong orang lain untuk berbuat baik. Walaupun peranan Raja amat diperlukan, watak-watak manusia yang utama dalam pertunjukan tersebut tidak dapat melihat Raja dengan mata kasar, mereka hanya melihat kesan daripada apa yang dilakukan-Nya.
Adakah kita hidup seolah-olah Raja yang benar ini aktif dalam hidup kita, walaupun kita tidak dapat melihat-Nya dengan mata kasar? Pada waktu nabi Daniel dalam kesusahan, dia mendapat penglihatan daripada utusan syurgawi (Daniel 10:7) sebagai jawapan bagi doa-doanya yang tekun (ayat 12). Utusan itu menjelaskan bahawa perang rohani telah menangguhkan kedatangannya dan malaikat penjaga yang terutama perlu dihantar (ayat 13). Daniel diingatkan bahawa walaupun dia tidak dapat melihat Tuhan, dia dikelilingi oleh bukti penjagaan dan perlindungan-Nya. “Jangan takut, wahai orang yang sangat dikasihi!” utusan itu mendorongnya (ayat 19). Pada penghujung Pilgrim, apabila watak utama sampai di pintu syurga selepas mengharungi pelbagai kesengsaraan, dia dengan sukacitanya berseru untuk kali pertama, “Aku dapat melihat Raja!” Sehingga kita dapat melihat Dia dengan mata baharu kita di syurga, kita menunggu perbuatan-Nya dalam hidup kita pada hari ini.