Semasa membuat persediaan untuk kebaktian meraikan sejarah hidup mendiang ibu saya, saya berdoa untuk mendapatkan perkataan yang sesuai untuk menghuraikan seluruh hidupnya—tahun-tahun sejak kelahiran hingga kematiannya. Saya merenungkan detik-detik yang baik dan tidak begitu baik dalam hubungan kami. Saya memuji Tuhan pada hari ibu saya menerima Yesus sebagai Penyelamatnya selepas dia melihat Yesus “mengubah” hidup saya. Saya bersyukur kerana Tuhan menolong kami bertumbuh dalam iman bersama-sama, dan bersyukur untuk orang yang berkongsi bagaimana ibu saya telah mendorong dan mendoakan mereka, sambil melakukan banyak kebaikan kepada mereka. Walaupun ibu saya tidak sempurna, dia telah menikmati hidup yang bermakna—hidup yang dijalani dengan baik demi Yesus.
Tiada orang Kristian yang sempurna. Walau bagaimanapun, Roh Kudus memampukan kita “hidup layak di hadapan Tuhan, dan [kita] mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal” (Kolose 1:10). Menurut rasul Paulus, jemaah Kolose terkenal dengan iman dan kasih mereka (ayat 3-6). Roh Kudus mengurniai mereka “kebijaksanaan dan pengertian”, serta memampukan mereka “membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah” (ayat 9-10). Ketika Paulus mendoakan dan memuji orang percaya tersebut, dia mengisytiharkan nama Yesus, bahawa “melalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa” (ayat 14).
Apabila kita berserah kepada Roh Kudus, kita juga akan bertumbuh dalam pengetahuan tentang Tuhan, mengasihi-Nya serta orang lain, menyebarkan Injil dan menikmati hidup yang bermakna—hidup yang dijalani dengan baik demi Yesus.