Dua orang sedang bertengkar di meja—seorang berkerut muka kerana amat geram, dan muka seorang lagi terherot-berot kerana sakit hati. Pertemuan semula antara rakan lama di sebuah restoran meletup dalam jeritan, kerana seorang wanita mencaci seorang wanita lain kerana berbeza kepercayaan. Pertengkaran itu berterusan sehingga wanita pertama keluar dengan menghentakkan kaki, meninggalkan seorang lagi terpinga-pinga dan berasa terhina.
Adakah kita benar-benar sedang hidup dalam zaman yang orang tidak boleh menerima perbezaan pendapat? Dua orang yang tidak bersetuju akan sesuatu perkara tidak bermakna kedua mereka adalah jahat. Ucapan yang kasar atau pantang menyerah tidak pernah dapat meyakinkan orang, dan pendapat yang keras tidak seharusnya digunakan untuk menggantikan kesopanan atau belas kasihan.
Roma 12 merupakan panduan terbaik bagi kita untuk “saling menghormati” dan “bersatu hati” dengan orang lain (ayat 10,16). Yesus mengatakan bahawa sikap yang saling mengasihi (Yohanes 13:35) menunjukkan bahawa seseorang itu percaya kepada-Nya. Sebaliknya, kesombongan dan kemarahan dengan mudahnya boleh menggagalkan kita, sifat-sifat ini sama sekali bukan kasih yang Tuhan mahu kita tunjukkan kepada orang lain.
Apabila kita hilang kawalan emosi sendiri, ini menjadi cabaran bagi kita untuk tidak menyalahkan orang lain. Firman Tuhan dalam Roma 12:18 mengatakan, “Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia” menunjukkan bahawa kita sendirilah harus bertanggungjawab untuk menjalani hidup yang mencerminkan sifat Kristus dalam diri kita, bukan orang lain.