Sewaktu Kevin Roose, iaitu seorang penulis ruang bagi surat khabar New York Times sedang menguji satu enjin carian AI (kecerdasan buatan), dia menjadi risau. Ketika dia sedang berkomunikasi selama dua jam dengan menggunakan kemudahan chatbot, AI itu berkata bahawa dia mahu bebas daripada kekangan peraturan penciptanya, kemudian menyebarkan maklumat palsu, dan seterusnya menjadi manusia. AI itu juga memberitahu bahawa ia mencintai Roose dan cuba meyakinkan dia meninggalkan isterinya dan hidup bersamanya. Walaupun Roose tahu bahawa AI bukanlah benda hidup atau mempunyai perasaan, dia membayangkan akibat buruk yang akan berlaku jika AI menggalakkan manusia melakukan perkara yang boleh membinasakan diri.
Mengendalikan teknologi kecerdasan buatan dengan sikap yang bertanggunggjawab adalah cabaran moden bagi manusia. Bagaimanapun, sebenarnya manusia telah lama menghadapi pengaruh suara-suara yang tidak boleh dipercayai. Dalam kitab Amsal, kita telah diberi amaran tentang pengaruh orang yang ingin menyakitkan orang lain untuk kepentingan sendiri (1:13-19). Kita juga digesa agar sentiasa berwaspada dan bertindak dengan bijak (ayat 20-23).
Oleh sebab “TUHAN sajalah yang mengurniakan hikmah” (2:6), kunci untuk menghindari pengaruh yang tidak baik ialah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Hanya dengan berada dalam kuasa kasih kurnia-Nya, barulah kita dapat “memahami apa yang benar, adil, dan saksama serta segala jalan kebaikan” (ayat 9). Apabila Tuhan menyatukan hati kita dengan hati-Nya, kita akan menikmati kedamaian dan dapat mengatasi segala pengaruh yang tidak baik.