Seseorang yang sedang nazak telah mengupah seseorang untuk menghadiri upacara pengebumiannya. Tujuannya ialah mendedahkan segala rahsia yang tidak pernah dikongsikan oleh si mendiang semasa dia masih hidup. Orang upahan ini akan mengganggu upacara pengebumian, dan meminta para pengurus pengebumian yang tengah terkejut supaya bertenang. Orang upahan itu akan terus tampil dan memberitahu bahawa si mendiang pernah menang loteri tetapi merahsiakannya dan sudah bertahun-tahun berpura-pura sebagai ahli perniagaan yang berjaya. Malah orang upahan ini juga berulang kali mendedahkan kecurangan si mendiang kepada balunya. Hal begitu membuat orang tertanya-tanya jika tindakan itu betul atau bersifat mempergunakan orang. Namun, apa yang nyata ialah setiap manusia ingin dibebaskan daripada dosa masa lampaunya.
Meminta seseorang mendedahkan rahsia-rahsia kita (terutamanya selepas kita mati) merupakan satu cara yang berisiko dan tidak berfaedah. Cerita-cerita seperti ini menunjukkan bahawa memang benar kita perlu mengaku dosa untuk meringankan beban emosi. Pengakuan boleh membersihkan kita daripada semua perkara yang tersembunyi dan dibiarkan sehingga merebak. Yakobus berkata, “Hendaklah kamu saling mengakui dosa”, serta “mendoakan satu sama lain supaya kamu disembuhkan”’ (5:16). Pengakuan membebaskan kita daripada segala beban yang membelenggu kita, membolehkan kita berdoa kepada Tuhan dengan hati yang terbuka bersama dengan komuniti seiman. Pengakuan membawa penyembuhan.
Yakobus menjemput kita hidup saling terbuka, mengaku kepada Tuhan dan orang yang rapat dengan kita mengenai segala masalah dan kegagalan yang kita ingin sembunyikan. Kita tidak perlu bersendirian memikul beban tersebut, pengakuan dosa adalah kurnia kepada kita. Tuhan menggunakannya untuk membersihkan hati dan membebaskan kita.
