Apabila Joni Eareckson Tada bercakap tentang sahabatnya, Rika, dia kagum dengan “iman Rika kepada Tuhan sewaktu dia menghadapi segala ujian dalam kehidupannya”, dan ketabahannya semasa dia berada dalam keadaan yang tidak berdaya serta kronik. Selama lebih daripada lima belas tahun, Rika berada dalam keadaan terbaring di atas katil dan tidak dapat melihat bulan dari tingkap kecil dalam biliknya. Namun dia tidak putus harapan. Dia tetap percaya kepada Tuhan, membaca dan mengkaji Alkitab, seperti yang dijelaskan oleh Joni, dia “tahu bagaimana untuk berdiri teguh ketika memerangi keputusasaan”.
Joni menyamakan ketabahan dan kegigihan Rika dengan Eleazar, iaitu seorang askar pada zaman Raja Daud, yang enggan melarikan diri daripada pasukan tentera Filistin. “Dia bangkit dan menewaskan orang Filistin sehingga tangannya penat dan melekat pada pedangnya” (2 Samuel 23:10), daripada mengikut semua tentera Israel lain yang melarikan diri. Dengan kuasa Tuhan, “TUHAN memberikan kemenangan yang besar pada hari itu” (ayat 10). Joni memperhatikan bahawa sebagaimana Eleazar terus berpegang pada pedangnya dengan penuh keazaman, begitulah juga Rika terus berpegang pada “ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah” (Efesus 6:17). Dengan itu, dia mendapat kekuatannya daripada Tuhan.
Sama ada dalam keadaan yang sihat atau berjuang melawan keputusasaan disebabkan oleh keadaan kronik, kita juga boleh datang kepada Tuhan untuk memperkuat pengharapan kita dan menolong kita untuk terus tabah. Kita mendapat kekuatan dalam Kristus.