Pada hari perkahwinan, si pengantin perempuan yang cantik sedang diiringi bapanya yang begitu bangga, bersedia untuk berjalan menuju ke pentas gereja. Tetapi sebelum itu, anak saudaranya yang berumur setahun lebih, masuk terlebih dahulu dengan membawa “Alkitab” sebagai ganti “cincin”, yang biasa dilakukan semasa upacara perkahwinan. Dengan cara ini, sebagai orang yang percaya kepada Yesus dan yang komited, pengantin lelaki dan perempuan ingin menyatakan bahawa Alkitab itu sangat penting bagi mereka. Tanpa apa-apa halangan, anak saudaranya terus berjalan menuju ke hadapan gereja. Indahnya apabila didapati ada tanda gigi si anak kecil itu pada sarung Alkitab itu. Ini menggambarkan bahawa membaca dan menyelami isi Alkitab merupakan hal penting yang perlu dilakukan oleh orang yang percaya kepada Kristus atau sesiapa sahaja yang ingin mengenali Yesus.
Mazmur 119 memperakui nilai Alkitab secara menyeluruh. Selepas mengisytiharkan berkat ke atas orang yang hidup mengikut hukum Tuhan (ayat 1), penulis secara berpuisi menyatakan kasihnya terhadap firman Tuhan. “Pertimbangkanlah betapa aku mencintai ajaran-ajaran-Mu” (ayat 159); “Aku benci dan jijik kepada pendustaan tetapi aku mencintai hukum-Mu” (ayat 163); “Jiwaku mematuhi peraturan-Mu, dan aku sungguh mencintainya” (ayat 167).
Apakah yang kita boleh tunjukkan tentang kasih kita kepada Tuhan dan hukum-Nya melalui cara kita hidup? Satu cara untuk menguji kasih kita terhadap-Nya ialah dengan bertanya, Apakah peranan saya? Adakah saya telah menyelami firman Tuhan yang terkandung dalam Alkitab bagaikan telah “mengunyahnya”? Kemudian menerima jemputanini, “Rasakan dan lihatlah kebaikan TUHAN” (Mazmur 34:8).