Seorang bintang sukan bola sepak Amerika berdiri di atas pentas yang bukan terletak di stadium sukan. Dia berucap kepada seramai tiga ratus orang banduan di Pusat Pemulihan Everglades, Miami, Florida, dan berkongsi ayat Alkitab daripada kitab Yesaya dengan mereka.
Namun pada waktu itu, dia berucap bukan tentang seorang atlet yang terkenal, tetapi tentang jiwa-jiwa yang terluka dan termusnah. Tuhan hadir di sebalik tirai besi pada masa yang istimewa itu. Seorang pemerhati menulis dalam media sosial bahawa “semua hadirin mula bersorak dalam ibadah pujian dan penyembahan”. Mereka menangis dan berdoa bersama. Akhirnya, seramai dua puluh tujuh orang banduan telah menyerahkan hidup mereka kepada Yesus.
Dengan kata lain, setiap kita juga berada dalam penjara buatan sendiri, terperangkap di sebalik sifat tamak, mementingkan diri dan ketagihan kita. Tetapi secara luar biasa, Tuhan hadir. Di penjara pada pagi itu, ayat Alkitab utama yang disampaikan adalah, “Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru, sekarang hal itu sedang muncul, tidakkah kamu mengetahuinya?” (Yesaya 43:19). Petikan ini mendorong kita, “jangan ingat-ingatkan hal-hal yang dahulu” dan “jangan perhatikan hal-hal yang silam” (ayat 18) kerana Tuhan berkata, “Aku, Akulah Dia yang … tidak lagi mengingat dosa-dosamu” (ayat 25).
Tuhan berkata: “Tidak ada penyelamat selain Aku” (ayat 11). Hanya dengan menyerahkan hidup kita kepada Kristus, kita dibebaskan. Sesetengah kita perlu berbuat demikian; sesetengah kita sudah berbuat demikian tetapi perlu diperingatkan semula siapa itu Tuhan yang benar dalam kehidupan kita. Kita yakin bahawa melalui Yesus, Tuhan akan melakukan “sesuatu yang baru”. Jadi mari kita lihat apa yang akan berlaku!