“Saya tidak melakukannya!” Saya berbohong dan hampir dapat melarikan diri sehingga Tuhan menghentikan saya. Sewaktu di sekolah menengah, saya dan sekumpulan orang telah bermain menembak spitballs (bebola kertas) ketika duduk di belakang pasukan pancaragam semasa satu persembahan. Pengarah muzik kami ialah seorang bekas tentera. Dia seorang yang sangat berdisiplin dan saya amat takut kepadanya. Jadi, apabila rakan-rakan subahat membabitkan saya, saya membohongi dia. Kemudian saya juga berbohong kepada bapa saya.
Bagaimanapun, Tuhan tidak membenarkan pembohongan ini berterusan. Dia membuat saya berasa amat bersalah kerana melakukan perbuatan itu. Selepas bertahan selama beberapa minggu, saya akhirnya menyerah. Saya meminta pengampunan daripada Tuhan dan bapa saya. Tidak lama selepas itu, saya pergi ke rumah pengarah muzik saya dan mengaku kesalahan saya dengan tangisan. Syukurlah, dia seorang yang baik dan pemaaf.
Saya tidak akan melupakan betapa leganya perasaan saya setelah tidak lagi memikul beban itu. Saya telah bebas daripada beban rasa bersalah dan berasa gembira buat pertama kalinya selepas beberapa minggu. Pemazmur berkata, “Ketika aku membisu, tulang-tulangku kian uzur … Kerana siang malam hukuman-Mu berat menekanku … Lalu aku mengakui dosaku kepada-Mu” (Mazmur 32:3-5).
Tuhan menghendaki keikhlasan. Dia mahu kita mengakui dosa kita kepada-Nya dan meminta pengampunan terhadap kesalahan yang kita lakukan kepada orang lain. “Engkau mengampunkan dosaku,” kata Daud (ayat 5). Alangkah baiknya kita mendapat kebebasan daripada pengampunan Tuhan!