Jon telah diupah sebagai seorang profesor penuh di sebuah universiti yang terkemuka. Abangnya David amat gembira, tetapi seperti kebanyakan abang, dia tidak dapat menahan daripada mengejek Jon dengan mengatakan bahawa dia pernah bergusti dengan adiknya itu hingga dia jatuh ke atas tanah semasa mereka masih kecil dulu. Jon telah maju dalam kehidupannya, tetapi dalam pandangan abangnya, Jon masih dianggap sebagai adik yang masih kecil.

Walaupun Yesus ialah Penyelamat, tetapi bukan mudah bagi Dia membuat ahli keluarganya berasa kagum dan hormat kepada-Nya. Yesus telah membesar dalam kalangan penduduk Nazaret, jadi mereka sukar untuk percaya bahawa Dia seorang yang unik. Tetapi mereka berasa kagum terhadap-Nya. “Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat? Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maria? (Markus 6:2-3). Yesus berkata, “Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya, antara sanak saudaranya dan dalam keluarganya sendiri” (ayat 4). Mereka mengenali Yesus, tetapi sukar untuk percaya bahawa Dia ialah Anak Tuhan.

Mungkin anda dibesarkan dalam keluarga yang beriman, selalu pergi ke gereja dan menyanyikan lagu-lagu rohani sejak kecil, dan menganggap Yesus seperti keluarga sendiri. Jika anda percaya dan mengikut Dia, Yesus ialah keluarga anda. Dia “tidak malu memanggil [kita] saudara-saudara” (Ibrani 2:11). Yesus adalah abang kita dalam keluarga Tuhan (Roma 8:29)! Ini merupakan satu keistimewaan tetapi keakraban kita boleh menyebabkan Dia seolah-olah hanya orang biasa. Hanya kerana seseorang itu ialah keluarga kita tidak bermakna mereka tidak istimewa atau unik.

Tidakkah anda gembira bahawa Yesus ialah keluarga bahkan lebih daripada itu? Semoga hubungan anda dengan Dia menjadi lebih rapat dan istimewa ketika anda mengikut-Nya hari ini.