Pihak tentera langsung tidak memberi peluang kepada Tony Vaccaro untuk menjadi jurugambar, namun itu tidak menghalangnya. Dia terus mengambil gambar walaupun dalam keadaan bahaya ketika mengelak daripada terkena tembakan peluru dan meriam yang seperi hujan jatuh dari celah pokok. Kemudian ketika rakan-rakannya sedang tidur, dia menggunakan topi keledar mereka untuk membancuh bahan kimia bagi mencuci gambarnya. Malam yang gelap di hutan itu telah menjadi bilik gelap bagi Vaccaro untuk mencipta satu rekod yang tidak lapuk dek zaman tentang pertempuran Perang Dunia Kedua di Hutan Hürtgen.
Kehidupan raja Daud penuh dengan masa-masa peperangan dan kegelapan. 2 Samuel 22 menuliskan, “TUHAN menyelamatkan [Daud] daripada cengkaman semua musuhnya dan daripada tangan Saul” (ayat 1). Daud menggunakan pengalaman itu untuk merenungkan kesetiaan Tuhan. Dia berkata,” Sesungguhnya, gelora badai maut mengepungku, curahan banjir kebinasaan mengerikanku” (ayat 5).
Seterusnya Daud beralih daripada keputusasaan kepada penuh harapan: “Dalam kesesakanku aku berseru kepada TUHAN,” katanya. “Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya” (ayat 7). Daud bertekad untuk memuji Tuhan atas pertolongan-Nya. “TUHAN menerangi kegelapanku,” katanya. “Kerana Engkau, aku dapat menerobos suatu gerombolan, kerana Allahku aku dapat melompati tembok” (ayat 29-30).
Daud mengubah kesusahannya menjadi peluang untuk memberitahu dunia tentang Tuhan yang setia. Kita pun dapat melakukan perkara yang sama. Ini kerana kita boleh berharap kepada Dia yang mengubah kegelapan menjadi terang.