Selama bertahun-tahun, seorang ibu berdoa sambil menolong anak perempuannya mengharungi sistem penjagaan kesihatan dan mendapatkan kaunseling serta perubatan terbaik. Keadaan tinggi rendah emosi anaknya yang terlalu ekstrem membuatkan ibunya rasa amat tertekan. Oleh sebab sering berasa letih akibat kesedihan, ibunya sedar bahawa dia juga perlu menjaga dirinya sendiri. Seorang kawan mencadangkan dia menulis semua kebimbangannya dan semua perkara di luar kawalannya di atas sekeping kertas, lalu meletakkannya di atas “piring Tuhan” di tepi katilnya. Praktik yang mudah ini tidak menghapuskan semua tekanannya, tetapi dengan melihat piring itu, ibu itu mengingatkan dia bahawa semua kebimbangan itu berada di atas piring Tuhan, bukan di atas bahunya.

Begitu jugalah Daud. Banyak daripada mazmur Daud merupakan cara dia menuliskan kesusahannya dan meletakkannya ke dalam tangan Tuhan yang seolah-olah di atas “piring Tuhan” (Mazmur 55:1, 16-17). Jika latar belakang Mazmur 55 adalah mengenai Absalom, iaitu anak Daud, yang cuba merampas kuasa, dan Ahitofel, iaitu “rakan karib” Daud yang telah mengkhianati dia serta terlibat dalam komplot untuk membunuh dia. Maka tertulisnya doa ini: “Petang, pagi dan tengah hari aku akan berdoa dan meratap kuat”, dan Tuhan mendengar doanya (Mazmur 55:1-2, 16-17). Daud memilih untuk menyerahkan “beban[nya] kepada TUHAN” dan mengalami penjagaan-Nya (ayat 22).

Kita sedar bahawa kebimbangan dan ketakutan memberi kesan kepada setiap kita. Kita mungkin juga berfikiran seperti Daud; “Kalaulah aku bersayap seperti merpati, aku akan terbang ke mana-mana mencari damai” (ayat 6). Tuhan itu dekat dan hanya Dia ada kuasa untuk mengubah keadaan. Letakkan semuanya di atas piring Tuhan.