Ketika Ryan masih seorang remaja, ibunya meninggal dunia akibat penyakit barah. Dia kehilangan tempat tinggal dan tidak lama kemudian terpaksa berhenti sekolah. Dia berasa putus asa dan sering kelaparan. Beberapa tahun kemudian, Ryan menubuhkan sebuah badan amal untuk membantu orang lain terutamanya kanak-kanak untuk belajar bertani, menuai dan menyediakan makanan dari kebun sendiri. Organisasi ini ditubuhkan dengan tujuan bahawa tiada sesiapa harus lapar, dan orang yang mempunyai makanan haruslah berkongsi dengan orang yang ada kekurangan. Keprihatinan Ryan terhadap orang lain mencerminkan hati Tuhan yang adil dan berbelas kasihan.
Tuhan amat mengambil berat tentang penderitaan dan kesakitan yang kita alami. Apabila Dia melihat ketidakadilan yang dahsyat di Israel, Dia mengutus nabi Amos untuk menegur sikap hipokrit mereka. Pada suatu ketika dahulu umat Tuhan pernah diselamatkan daripada penindasan di Mesir, sekarang mereka pula menjual saudara mereka sebagai hamba demi sepasang kasut (Amos 2:6). Mereka mengkhianati orang tidak berdosa, tidak menegakkan keadilan bagi orang yang ditindas, menginjak-injak “kepala” orang yang miskin (ayat 6-7), tetapi pada masa yang sama berpura-pura menyembah Tuhan dengan persembahan pada hari suci (4:4-5).
“Carilah yang baik, jangan yang jahat, supaya kamu hidup,” seru Amos kepada mereka. “Dengan demikian TUHAN, Allah alam semesta, akan menyertai kamu, seperti yang kamu katakan” (5:14). Seperti Ryan, setiap kita juga pernah mengalami penderitaan dan ketidakadilan dalam kehidupan, maka ini membolehkan kita membantu dan bersimpati dengan orang lain. Masa sudah tiba untuk “mencari yang baik” dan menabur benih keadilan bersama dengan Tuhan.