Sekumpulan lima puluh ekor ikan paus telah terdampar di pantai Scotland. Kejadian ini sungguh menyayat hati. Para sukarelawan cuba untuk menyelamatkan ikan-ikan paus tersebut tetapi akhirnya kesemua makhluk ini mati. Tiada sesiapa pun tahu sebabnya. Kemungkinan kejadian ini disebabkan oleh ikatan naluri yang kuat dalam kalangan ikan paus. Apabila seekor ikan paus berada dalam keadaan yang bahaya, yang lain pun datang untuk membantu. Bagaimanapun, naluri penyayang juga boleh membawa bahaya.
Alkitab dengan jelas menyeru kita untuk membantu orang lain, tetapi kita juga perlu bijak dalam cara kita berbuat demikian. Sebagai contoh, apabila kita membantu untuk memulihkan seseorang yang terperangkap dalam dosa, kita perlu berhati-hati agar kita sendiri tidak diheret ke dalam dosa itu (Galatia 6:1). Sementara kita mengasihi sesama kita, kita juga perlu mengasihi diri sendiri (Matius 22:39). Amsal 22:3 berkata, “Orang yang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi, tetapi orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya”. Ini merupakan peringatan yang baik bagi kita apabila membantu orang lain mula menjejaskan hidup kita.
Beberapa tahun yang lalu, ada dua orang yang sangat memerlukan pertolongan mula menghadiri gereja kami. Tidak lama selepas itu, jemaah atau anggota gereja yang prihatin mula berasa rimas dengan rintihan dan tangisan mereka. Penyelesaiannya bukan menolak untuk membantu pasangan itu, tetapi kita perlu menetapkan batasan supaya tidak menimbulkan tekanan emosi kepada anggota-anggota gereja yang prihatin. Yesus, penolong kita yang paling hebat juga mengambil masa untuk berehat (Markus 4:38), dan Dia memastikan keperluan murid-murid-Nya agar tidak digantikan oleh keperluan orang lain (6:31). Cara yang kita boleh mengambil berat tentang kepentingan orang dengan bijak adalah mengikuti teladan-Nya. Dengan menjaga kesihatan kita sendiri, kita akan mempunyai lebih banyak peluang untuk melayani orang lain dalam jangka panjang.