Isteri saya, Cari, berkata, “Saya tidak percaya apa yang saya lihat!” sambil memanggil saya melihat ke luar tingkap dan menuding ke arah seekor rusa dewasa yang berada di luar pagar rumah kami, melompat dari satu sudut halaman rumah ke sudut halaman yang lain. Beberapa ekor anjing peliharaan kami yang besar berada di dalam pagar rumah mengikuti rentak rusa tersebut dan mereka tidak menyalak sama sekali. Anjing-anjing kami dan rusa tersebut melakukan hal yang sama selama hampir sejam. Apabila rusa itu berhenti dan bersemuka antara satu sama lain, anjing-anjing kami juga berhenti, meluruskan kaki hadapan mereka, dan menurunkan badan mereka, bersedia untuk berlari lagi. Ini tidak seperti sifat mangsa dan pemangsa; rusa dan anjing-anjing kami sedang bermain bersama-sama, menikmati kehadiran antara satu sama lain!
Bagi kami, kegirangan mereka pada waktu pagi menggambarkan kerajaan Tuhan yang akan datang. Nabi Yesaya menyatakan janji Tuhan tentang kerajaan tersebut dengan ayat, “Sesungguhnya, Aku akan menciptakan langit yang baru dan bumi yang baru” (Yesaya 65:17). Dia meneruskan dengan berkata “Serigala dan anak domba akan meragut rumput bersama-sama, singa akan makan jerami seperti lembu” (ayat 25). Tiada lagi pemangsa, tiada lagi mangsa. Hanya kawan.
Kata-kata oleh Yesaya seolah-olah menunjukkan kepada kita bahawa akan ada binatang di dalam kerajaan Tuhan yang kekal; binatang juga menunjukkan apa yang disediakan Tuhan untuk ciptaan-Nya, terutamanya “untuk mereka yang mengasihi-Nya” (1 Korintus 2:9). Alangkah indahnya tempat itu! Ketika kita mempercayai-Nya dengan iman, Tuhan akan membuka mata kita kepada realiti yang akan datang: keamanan dan keselamatan dalam hadirat-Nya selamanya!