Apabila tarikh parti kami semakin menghampiri, saya dan isteri mula merancang. Dengan begitu ramai tetamu yang akan datang, adakah kami perlu mengupah perkhidmatan katering untuk memasak? Sekiranya kami ingin menyediakan makanan sendiri, perlukah kami membeli peralatan untuk barbeku? Walaupun kemungkinan hari itu tidak akan hujan, perlukah kami membeli khemah juga? Jika demikian, parti kami akan menjadi parti yang berkos tinggi, bahkan sedikit antisosial. Dengan mencuba untuk menyediakan segalanya sendirian, kami akan terlepas peluang untuk menerima bantuan orang lain.
Visi Alkitab tentang komuniti terdiri daripada memberi dan menerima. Malah, sebelum jatuh dalam dosa, Adam memerlukan bantuan (Kejadian 2:18), dan kita dipanggil untuk mendapatkan nasihat orang lain (Amsal 15:22) dan saling berkongsi beban (Galatia 6:2). Gereja awal “berkongsi segala yang ada pada mereka,” mendapat manfaat daripada “harta benda” satu sama lain (Kisah Para Rasul 2:44-45). Daripada hidup bersendirian, mereka berkongsi, meminjam, memberi dan menerima melalui hubungan indah yang saling bergantung.
Kami akhirnya meminta tetamu membawa salad atau pencuci mulut ke parti kami. Jiran-jiran kami membawa peralatan barbeku mereka, dan seorang kawan membawa khemahnya. Meminta bantuan membolehkan kita menjalin hubungan yang lebih erat, dan makanan yang disediakan oleh orang lain membawa kepelbagaian dan kegembiraan. Pada zaman seperti kita ini, berdikari boleh menjadi sumber kebanggaan. Tetapi Tuhan memberikan kasih kurnia kepada “orang yang rendah hati” (Yakobus 4:6), termasuk mereka yang meminta pertolongan dengan rendah hati.