Pada 11 September 2023, iaitu ulang tahun kedua puluh dua serangan ke atas Amerika Syarikat, fenomena pelangi berganda yang menakjubkan telah menghiasi langit Bandar Raya New York. Sebagai tuan rumah bagi bekas Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia, bandar ini mengalami kerosakan paling banyak semasa serangan. Lebih daripada dua dekad kemudian, dua pelangi yang muncul bersama ini membawa harapan dan penyembuhan kepada sesiapa pun yang menyaksikannya. Sebuah klip video yang memaparkan saat tersebut menangkap pelangi yang muncul itu seperti terpancar dari tapak Pusat Dagangan Dunia itu sendiri.
Pelangi yang muncul di langit membawa keyakinan akan kesetiaan Tuhan sejak zaman Nuh. Berikutan penghakiman Tuhan terhadap dosa, yang mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat, Tuhan menetapkan isyarat yang berwarna-warni ini sebagai peringatan yang jelas tentang “perjanjian abadi antara Allah dengan segala jenis hidupan yang ada di bumi” (Kejadian 9:16). Selepas empat puluh hari hujan dan banjir selama berbulan-bulan (7:17-24), seseorang hanya dapat membayangkan betapa gembiranya apabila melihat kemunculan pelangi itu—“tanda perjanjian”—bagi Nuh dan keluarganya (9:12-13). Pelangi merupakan peringatan akan kesetiaan Tuhan bahawa “tidak akan berlaku lagi banjir yang memusnahkan bumi” (ayat 11).
Apabila kita menghadapi hari-hari gelap dan kehilangan yang tragis—sama ada disebabkan oleh bencana alam, kesakitan fizikal atau emosi, ataupun penyakit—di tengah-tengah semua yang terjadi, mari kita berpaling kepada Tuhan untuk memperoleh harapan dalam-Nya. Walaupun kita tidak melihat pelangi-Nya pada saat-saat tersebut, kita boleh yakin akan Dia yang selalu menepati janji-janji-Nya.