Pernahkah anda berada dalam situasi yang anda sedang bercerita dan tiba-tiba terhenti, tersekat pada butiran seperti nama atau tarikh yang tidak dapat diingat kembali. Selalunya kita akan menyalahkan usia, mengakui bahawa ingatan akan pudar ditelan masa. Tapi kajian baru-baru ini tidak lagi menyokong pandangan tersebut. Mereka menunjukkan bahawa ingatan kita bukan masalahnya; ia adalah keupayaan kita untuk mengingat semula kenangan tersebut. Tanpa latihan yang kerap, ingatan kita semakin susah untuk diakses.
Salah satu cara untuk meningkatkan keupayaan mengingat semula adalah dengan tindakan atau pengalaman yang dilakukan secara teratur untuk ingatan tertentu. Pencipta kita tahu akan hal ini, jadi Dia mengarahkan orang-orang Israel menetapkan satu hari dalam seminggu untuk beribadat dan berehat. Kita bukan saja mendapat manfaat daripada rehat fizikal, kita juga mendapat peluang untuk melatih mental, mengingat bahawa “enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya” (Keluaran 20:11). Kaedah ini membantu kita mengingat bahawa Tuhan ada.
Dalam kehidupan kita yang sibuk, terkadang kita terlupa akan apa yang telah dilakukan Tuhan untuk kita dan orang lain. Kita terlupa siapa yang mempedulikan hidup kita dan siapa yang menjanjikan hadirat-Nya apabila kita berasa kecewa dan bersendirian. Dengan berehat daripada rutin harian, ini menyediakan kesempatan yang diperlukan untuk mengadakan “latihan mengingat semula”—keputusan yang dibuat secara sengaja untuk berhenti, mengingati Tuhan kita dan “jangan lupakan segala rahmat-Nya” (Mazmur 103:2).