Suasana di kilang-kilang di England pada zaman Victoria sungguh buruk. Kadar kematian adalah tinggi, dan pekerja sering hidup dalam kemiskinan. Peniaga George Cadbury bertanya, “Bagaimana mungkin kaum buruh dapat menanam cita-cita, sedangkan rumahnya ialah kawasan setinggan?” Oleh itu dia membina sebuah kilang baru untuk mengembangkan perniagaan coklatnya, yang juga memberi manfaat kepada para pekerjanya.
Hasilnya, Bourneville, iaitu sebuah kampung yang mempunyai lebih daripada tiga ratus rumah dengan padang sukan, taman permainan, sekolah, dan gereja telah dibinakan untuk para pekerja Cadbury dan keluarga mereka. Mereka dibayar gaji yang baik dan ditawarkan rawatan perubatan, semuanya kerana iman Cadbury terhadap Kristus.
Yesus mengajar kita untuk berdoa agar kehendak Tuhan terlaksana “di bumi sebagaimana di syurga” (Matius 6:10). Doa ini dapat membantu kita membayangkan, seperti yang dilakukan oleh Cadbury, agaknya apa rupa tempat kerja kita di bawah pemerintahan Tuhan, mana yang kita akan peroleh “makanan untuk hari ini” dan bagaimana “mengampuni mereka yang bersalah” terhadap kita (ayat 11-12). Sebagai pekerja, ini bermaksud kita harus melakukan kerja “dengan sebulat hatimu untuk Tuhan” (Kolose 3:23). Sebagai majikan, ini bermaksud kita harus memberikan apa yang “adil dan wajar” (4:1). Apa pun peranan kita, sama ada dibayar atau secara sukarela, ini bermakna kita harus menjaga kesejahteraan orang yang kita layani.
Seperti George Cadbury, mari kita bayangkan perubahan keadaan yang mungkin akan dibawa sekiranya Tuhan berkuasa di atas kawasan kejiranan dan tempat kerja kita. Ini kerana ketika Dia berkuasa, orang-orang akan berkembang maju.