Dengan anggaran berbilion-bilion penonton di seluruh dunia, pengebumian Ratu Elizabeth II mungkin merupakan siaran yang paling banyak ditonton dalam sejarah. Satu juta orang berbaris di jalan-jalan London pada hari itu, dan 250,000 orang beratur selama berjam-jam pada minggu itu untuk melihat keranda Ratu. Seramai 500 orang raja, permaisuri, presiden dan pemimpin negeri lain berkumpul untuk memberi penghormatan kepada wanita yang terkenal dengan kekuatan dan sifatnya.
Ketika dunia mengalihkan pandangan kepada Great Britain dan ratunya yang telah pergi, fikiran saya beralih kepada acara lain—kepulangan seorang raja. Kita diberitahu bahawa harinya akan datang, apabila bangsa-bangsa akan berkumpul untuk mengiktiraf Raja yang jauh lebih besar (Yesaya 45:20-22). Dialah seorang pemimpin yang kuat dan berwibawa (ayat 24), “setiap lutut akan bertelut” di hadapan-Nya dan “setiap lidah akan bersumpah setia” (ayat 23), termasuk pemimpin-pemimpin dunia, yang akan membawa kemuliaan mereka kepada-Nya dan memimpin bangsa-bangsa mereka untuk berjalan dalam cahaya-Nya (Wahyu 21:24, 26). Bukannya semua orang akan mengalu-alukan kedatangan Raja ini, tetapi bagi mereka yang menantikannya, mereka akan menikmati pemerintahan-Nya selama-lamanya (Yesaya 45:24-25).
Seperti dunia berkumpul untuk menyaksikan pemergian seorang ratu, suatu hari kelak kita akan melihat Raja yang terutama datang kembali. Alangkah indahnya hari itu—apabila “segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi” tunduk kepada Yesus Kristus, dan “mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan” (Filipi 2:10-11).