Lindisfarne, yang juga dikenali sebagai Pulau Suci, adalah sebuah pulau pasang surut di England yang dihubungkan ke tanah besar melalui jalan yang sempit. Dua kali sehari, jalan itu akan dilitupi air laut. Papan tanda didirikan untuk memberi amaran kepada para pengunjung tentang bahaya melintas jalan itu semasa air pasang. Namun, pelancong kerap mengabaikan amaran tersebut dan sering duduk di atas kereta yang ditenggelami air atau berenang ke pondok keselamatan supaya mereka boleh diselamatkan. Seperti matahari terbit, kita boleh buat ramalan tentang waktu pasang surut. Tambahan lagi amaran ada di mana-mana; para pelancong tidak mungkin boleh terlepas pandang. Namun, seperti yang dijelaskan oleh seorang penulis, Lindisfarne adalah tempat yang “orang bongkak cuba untuk mengatasi air pasang.”

Kitab Amsal memberitahu kita bahawa adalah bodoh untuk “bertindak sembrono” (14:16, FAYH). Orang yang semberono tidak mementingkan kebijaksanaan atau nasihat yang bijak, bahkan tidak mempedulikan atau menjaga orang lain dengan baik (ayat 7-8). Sebaliknya, kebijaksanaan membuat kita bertenang untuk mendengar dan merenung supaya kita tidak terbawa-bawa oleh emosi yang terburu-buru atau idea yang tidak matang (ayat 6). Kebijaksanaan mengajar kita bertanya soalan yang baik dan mempertimbangkan implikasi yang mungkin dibawa oleh tindakan kita. Manakala orang yang semberono cenderung meluru ke depan tanpa menghiraukan hubungan atau akibatnya—bahkan kebenaran—“orang bijaksana mempertimbangkan gerak langkahnya” (ayat 15).

Walaupun kadang-kadang kita perlu bertindak tegas atau pantas, kita boleh mengelakkan tindakan yang semberono. Apabila kita menerima dan mengamalkan ajaran Tuhan yang penuh hikmat, Dia akan memberi kita bimbingan apabila kita memerlukannya.