Dalam sebuah parti sebelum majlis perkahwinan kami, Dave, rakan kami yang pemalu berdiri di suatu sudut sambil memegang sebuah objek berbentuk empat segi panjang yang dibalut tisu. Apabila gilirannya tiba, dia membawa hadiahnya kepada kami. Saya dan Evan membuka bungkusan itu dan mendapati sekeping kayu ukiran tangan yang mempunyai bulatan sepusat yang sempurna dan terukir ayat ini, “Sesetengah mukjizat daripada Tuhan adalah kecil.” Plak tersebut tergantung di ruangan rumah kami selama empat puluh lima tahun, masih mengingatkan kami berkali-kali bahawa Tuhan bekerja walaupun dalam hal-hal yang kecil. Seperti membayar bil bulanan, menyediakan makanan, merawat selesema. Semua hal ini menyenaraikan rekod yang luar biasa mengenai penyediaan Tuhan.
Melalui nabi Zakharia, pembesar Yehuda, Zerubabel menerima mesej yang sama daripada Tuhan mengenai pembinaan semula Yerusalem dan Bait-Nya. Selepas pulang daripada tawanan Babylon, kemajuan pembinaan dijalankan dengan sangat lambat, akibatnya orang-orang Israel mulai berasa kecewa. Namun Tuhan berkata, “Siapakah yang memandang hina hari terjadinya hal-hal yang kecil?” (Zakharia 4:10). Tuhan melaksanakan kehendak-Nya melalui kita dan kadang-kadang tanpa kita. “‘Bukan dengan kegagahan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan Roh-Ku,’ firman TUHAN alam semesta. (ayat 6).
Apabila kita menjadi kecewa dengan betapa kecilnya pekerjaan Tuhan di dalam dan di sekeliling kita, semoga kita ingat bahawa walaupun beberapa mukjizat-Nya mungkin kelihatan “kecil.” Tuhan tetap menggunakan perkara-perkara kecil ini untuk melaksanakan tujuan-Nya yang lebih besar.