Apabila ditanya sama ada ingin menerima tanggungjawab baru di tempat kerja, saya ingin menjawab “tak mau”. Saya terfikir akan cabaran dan berasa tidak cekap untuk menghadapinya. Namun setelah saya berdoa dan mencari panduan daripada Alkitab dan rakan-rakan seiman yang lain, saya sedar bahawa Tuhan memanggil saya untuk berkata “ya”. Melalui firman-Nya, saya diyakinkan untuk menerima pertolongan-Nya. Oleh itu, saya menerima tanggungjawab itu, tetapi masih ada sedikit kerisauan.
Saya menganggap keadaan saya sendiri seolah-olah sama dengan orang Israel dan sepuluh orang pengintip yang berundur daripada menduduki tanah Kanaan (Bilangan 13:27-29, 31-33; 14:1-4). Mereka juga melihat kesukaran di sebalik kota itu, memikirkan bagaimana mereka harus mengalahkan orang-orang kuat di tanah itu dan merampas kota mereka yang bertembok. “Di mata kami sendiri diri kami seperti belalang sahaja,” kata beberapa orang pengintip (13:33). Orang Israel juga bersungut-sungut, “Mengapakah TUHAN membawa kami ke negeri ini? Supaya kami tewas oleh pedang, dan isteri serta anak-anak kami menjadi tawanan?” (14:3).
Hanya Kaleb dan Yosua tidak melupakan bahawa Tuhan sudah berjanji untuk memberi Tanah Kanaan kepada umat-Nya (Kejadian 17:8; Bilangan 13:2). Mereka mendapat keyakinan daripada janji-Nya, dan terlebih dahulu melihat terang harapan yang tersinar daripada penyertaan dan pertolongan Tuhan, walaupun kesukaran ada di hadapan mereka. Mereka menghadapi cabaran dengan kuasa, perlindungan dan sumber-Nya, bukan daripada diri mereka sendiri (Bilangan 14:6-9).
Tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada saya bukanlah senang—tetapi Dia menolong saya melaluinya. Kita tidak dijanjikan akan ada waktu senang ketika melayani-Nya, tetapi seperti Kaleb dan Yosua, kita boleh menghadapi segala cabaran dengan mengetahui bahawa “TUHAN menyertai kita” (ayat 9).